Ku Cinta Kau Seorang (2013)
SINOPSIS :
Sebuah lagi karya terbaru sutradara Khairul Amri Haji Khalid (Keoi)
dan nukilan skrip oleh Shuhadatul Ain Zakaria bakal mengisi slot Lestary
menerusi drama rantaian 13 episod berjudul “Ku Cinta Kau Seorang”,
menggantikan “Diandra”. Bakal disiarkan mulai 19 November 2013, “Ku
Cinta Kau Seorang” terbitan Global Station Sdn. Bhd. menampilkan barisan
pelakon terdiri daripada Remy Ishak, Amyra Rosli, Ruminah Sidek,
Faradhiya, Zack X-Factor, Hafizzuddin, Bill Azali, dan ramai lagi. Drama romantik komedi ini mengisahkan tentang Batrisya (Amyra Rosli)
yang dibesarkan di dalam keluarga berada, segala permintaan dan kehendak
beliau dituruti oleh Dato’ Hisham. Ramai pembantu rumah terpaksa
diberhentikan gara-gara kesalahan kecil. Suatu hari, Helmi (Remy Ishak),
pekerja di restoran milik Dato’ Hisham telah menegur sikap biadap
Batrisya. Hari itu, Batrisya merasakan telah memalukannya. Dia pergi
menemui Dato’ Hisham di pejabat semata-mata ingin meminta ayahnya itu
memberhentikan Helmi. Helmi, anak yatim piatu, tidak dapat melanjutkan pelajaran atas
faktor kewangan. Dia tinggal bersama-sama neneknya yang sudah tua dan
nyanyuk. Kos perubatan neneknya yang menghidap penyakit buah pinggang
amat tinggi, jadi dia terpaksa melakukan banyak kerja. Dia sanggup
berhabis wang demi neneknya yang dikasihi, satu-satunya saudara yang dia
ada. Bagi Dato’ Hisham, cukuplah beberapa orang gaji terpaksa dia
berhentikan tetapi bukan Helmi kerana dia mengenali Helmi seorang anak
muda yang rajin dan tidak pernah mempunyai masalah.
Oleh kerana kecewa terhadap ayahnya yang tidak mahu memberhentikan
Helmi, Batrisya pergi ke luar negara selama sebulan tanda mogok. Dato’
Hisham yang runsing memikirkan Batrisya pergi menemui rakan baiknya,
Rahim untuk meluahkan penyesalan kerana terlalu memanjakan anak
perempuannya itu. Rahim bukan sahaja seorang sahabat yang setia
mendengar keluhan Dato’ Hisham, beliau juga memberikan pendapat yang
terbaik. Selepas puas bercuti, Batrisya pulang ke tanah air. Apabila tiba di
hadapan pintu rumahnya, dia amat terkejut melihat papan tanda ‘Untuk
Dijual’. Batrisya bergegas ke restoran milik ayahnya, restoran itu juga
telah ditutup. Batrisya berjumpa dengan Pak Cik Rahim yang kemudiannya
menunjukkan surat mengatakan ayahnya telah muflis dan terpaksa melarikan
diri disebabkan hutang-piutang yang banyak. Di dalam surat itu juga mengamanatkan Batrisya untuk belajar tinggal
bersama Helmi dan neneknya. Sebaik sahaja sampai di rumah Helmi dengan
alamat yang diberikan, Batrisya seakan-akan tidak percaya bahawa dia
harus menghuni di rumah seperti reban ayam. Dia tidak rela dan cuba
meminta bantuan kawan-kawan baik yang setia dengannya. Tetapi, apabila
dia berjumpa dengan Maya dan Farah, ada sahaja alasan dan mereka tidak
mahu menolong. Dia cuba menghubungi teman lelakinya, Razman, namun
hampa.
Batrisya sangat sedih apa yang menimpa hidupnya dalam sekelip mata.
Dia menyalahkan takdir dan sanggup ayahnya meninggalkan dia begitu
sahaja. Dia melangkah semula ke rumah Helmi. Helmi memberitahu Batrisya
tentang undang-undang di dalam rumah seperti apa yang boleh buat dan apa
yang tidak boleh. Batrisya tidak boleh duduk sahaja dan kena menjaga
neneknya jika tidak sila keluar daripada rumah ini. Apakah yang bakal
berlaku kepada Batrisya seterusnya?
Jumlah Episod: 13
TAMAT
TAMAT
0 comments: